Microsoft Edge Berasaskan Enjin Chromium – Internet Explorer Generasi Baru?
Internet Explorer adalah pelayar web yang paling teruk
pernah wujud. Ia ketinggalan zaman, perlahan, mempunyai masalah prestasi dan
dibenci ramai. Microsoft kemudian hadir dengan pelayar web baru Microsoft Edge.
Satu pelayar web generasi baru dari Microsoft yang ingin cuba bersaing dengan
Chrome, Safari dan pelayar web lain.
Walaupun Microsoft Edge adalah antara pelayar web yang
terpantas dan mempunyai prestasi yang hebat, ia masih tidak mampu bersaing
dengan pelayar web lain – atas kekurangan fungsi, ciri dan banyak lagi. Pada
tahun lepas, Microsoft dengan
rasminya sedang membangunkan Microsoft Edge berasaskan enjin Chromium.
Dengan pertukaran enjin pelayar web ke Chromium, pasti Microsoft Edge akan
boleh bersaing – kerana enjin ini mampu menyokong pelbagai perkara.
Semalam, fail
pemasangan Microsoft Edge berasaskan enjin Chromium telah tertiris dan
arena web dan saya sempat pasang dan mencuba. Dalam artikel ini akan saya
kongsikan pandang pertama dan pendapat saya mengenai pelayar web ini.
Rekaan
Rekaan Microsoft Edge biasa dan Microsoft Edge Chromium
sedikit berbeza. Pada versi enjin Chromium ini, pelayar web Google Chrome masih
kelihatan tetapi ia mempunyai sedikit elemen-elemen Microsoft Edge biasa.
Apabila tab baru dibuka, apa yang terpapar adalah bar carian Bing dan
ikon pintasan akses pantas kepada laman web yang kerap digunakan. Manakala pada
Microsoft Edge biasa ia memaparkan laman web yang kerap dikunjung serta
berita-berita terkini. Pada versi Chromium, berita-berita perlu diakses dengan
menekan tab khas di bahagian bawah.
Menu akses tetapan juga sedikit berbeza. Pandangan saya, ia
mirip Firefox tetapi dengan elemen rekaan Microsoft Edge dikekalkan. Secara
keseluruhan, ia tidak janggal digunakan digunakan kerana ia kelihatan seperti
satu pelayar web yang sudah kita kenali.
Ciri Utama
Sudah tentu ciri yang kita mahukan adalah sokongan pelbagai
pemalam. Dengan enjin Chromium digunakan, pelayar web ini akan menyokong banyak
pemalam dari Google Web Store. Akan tetapi, satu tetapan khas perlu diaktifkan
terlebih dahulu kerana, pemalam default yang disokong oleh pelayar
web ini adalah melalui Microsoft Store. Atas percubaan saya, memasang pemalam
secara manual (muat turun fail .crx) tidak disokong dan ia perlu dipasang
melalui store-store sahaja.
Prestasi
Untuk prestasi, saya yakin pasti akan ada yang risau dengan
penggunaan RAM. Pada Google Chrome, ia menggunakan jumlah RAM yang tinggi dan
penggunaan tenaga pemproses yang ekstrem. Microsoft Edge versi Chromium
menggunakan jumlah RAM yang sedikit berbanding Google Chrome. Tetapi, Microsoft
Edge versi biasa kekal menjuarai dengan penggunaan jumlah RAM yang sangat
sikit.
Ujian menggunakan HTML5 pula, Microsoft Edge versi biasa
dilihat tidak setanding dengan dua pelayar web Chromium ini. Tetapi Microsoft
Edge versi Chromium dan Google Chrome mempunyai prestasi yang setanding.
Tema Gelap?
Disebabkan ia adalah berasaskan Chromium, jadi banyak
ciri-ciri dan fungsi-fungsi dari Chromium dapat diuji melalui flags yang
terbina. Tetapi, ini adalah pelayar web Edge – jadi untuk mengakses flags ia
perlu diakses melalui ‘edge://flags/’. Antara tetapan yang saya cuba aktifkan
adalah tema gelap. Mengaktifkan melalui flags tidak menyebabkan
sebarang perubahan.
Akan tetapi, jika tetapan Windows 10 anda menggunakan mod
tema gelap – pelayar web ini turut akan berubah dan selari dengan tetapan
Windows 10.
Penyelarian Akaun & Tetapan
Saya memasang Microsoft Edge versi Chromium ini pada Windows
10 dengan akaun Microsoft diselarikan. Disebabkan Microsoft Edge versi biasa
saya telah saya mengimport segala bookmark laman web dan sejarah dari
Chrome dan terus diselarikan dalam akaun Microsoft – Microsoft Edge Chromium
akan turut selarikan data-data yang sama.
Untuk tetapan pula, versi ini telah mengikut cara Google
Chrome di mana tetapan akan dibuka dalam tab dan bukan seperti
Microsoft Edge biasa yang mempunyai tetingkap khas di bahagian sisi pelayar
web. Tetapan juga mempunyai rekaan yang kemas dan lebih mudah digunakan.
Walaupun penggunaan RAM sedikit tinggi berbanding dari
Microsot Edge biasa, apa yang penting adalah ciri dan fungsi yang diberikan,
prestasi hebat dan penggunaan RAM adalah lebih rendah dari Google Chrome.
Banyak perkara menarik dari pelayar web ini membuatkan saya ingin bertukar
terus dari Google Chrome.
Walau bagaimanapun, pelayar web ini hanya akan mempunyai versi
64-bit sahaja dan peranti Windows dengan 32-bit mungkin tidak akan
berpeluang mencubanya.
Jika anda ikuti perkembangan pembangunan Microsoft, anda
akan perasan yang Microsoft sehingga hari ini telah mempunyai beberapa pemalam
untuk Chrome. Antara yang terkini adalah Windows Defender dan Web Activities.
Bagi yang ingin berpindah dan risau akan data-data
seperti bookmark Google Chrome, sejarah web yang di kunjung – anda
boleh cuba biasakan diri dengan Windows Timeline dan pemalam Web Activities.
Ini kerana pada saya, ia sudah mencukupi dan agak menarik untuk digunakan.
Kelak, apabila pelayar web ini sudah dilancarkan – saya ingin cuba terus jadikannya sebagai pelayar web harian saya. Setakat ini, versi tertiris yang saya gunakan ini sudah mempunyai banyak perkara menarik dan pada saya sudah cukup stabil. Harapnya, versi stabil kelak akan hadir dengan penggunaan RAM yang lebih rendah dan setaraf dengan Microsoft Edge biasa.